Tanggungjawab Suami Yang Soleh

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan. Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.
2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.
3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.
4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.
5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.
6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.
7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).
8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.
9. Menahan pandangan.
10. Memelihara kemaluannya.
11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.
12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.
13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.
14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.
15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.
16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.
17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.
18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...